KOTA KINABALU, 22 Dis – BERSATU Bahagian Tuaran berhasrat meletakkan calon di kerusi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran, Datuk Abdul Kassim Razali berkata, berdasarkan kekuatan akar umbi di bahagian itu, BERSATU dilihat berada di landasan tepat untuk bertanding di kerusi Parlimen Tuaran.

“Melihat kepada pengaruh, sokongan dan kekuatan BERSATU di Tuaran, sudah tiba masanya parti ini meletakkan calon bertanding pada PRU akan datang,” katanya di sini, pada Selasa.

Bagaimanapun katanya, BERSATU akan mengadakan rundingan dengan rakan-rakan dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mencapai kata putus untuk mengelakkan pertembungan antara satu sama lain di Parlimen Tuaran.

Tambah Abdul Kassim lagi, kekuatan dan sokongan rakyat terhadap Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor selaku Ketua Menteri Sabah turut memberi kelebihan positif untuk BERSATU memenangi kawasan Parlimen Tuaran.

“Ini juga merupakan permintaan dan kemahuan ahli kita di peringkat akar umbi.

“BERSATU Tuaran menyerahkan kepada Ketua Menteri Sabah selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah dan Ketua Bahagian BERSATU Tuaran berhubung perkara ini”, katanya.

Ujarnya lagi, BERSATU Bahagian Tuaran juga terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan rakan dalam GRS mengenai perkara tersebut.

Untuk rekod, Parlimen Tuaran kini disandang oleh Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menang atas tiket Barisan Nasional pada PRU14.

Bagaimanapun, Madius kemudian keluar daripada rakan komponen BN apabila UMNO tumbang dan beralih sokongan kepada Parti Warisan-Pakatan Harapan (PH).