KUALA LUMPUR, 23 Dis – Pengurusan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diminta mempermudah proses permohonan mangsa banjir bagi menyusun semula bayaran pinjaman pendidikan.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia yang juga Pengerusi PTPTN Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, penyusunan semula bayaran balik dalam kes-kes tertentu adalah dalam bidang kuasa PTPTN dan seboleh-bolehnya para pegawai harus mempermudah perkara berkenaan.

Selain itu, beliau meminta pengurusan atasan PTPTN untuk segera berbincang dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kewangan mengenai kemungkinan memberikan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan banjir.

“Sudah pasti keutamaan peminjam yang terkesan adalah membina semula kehidupan. Kita mesti bantu mereka. Tetapi sebagai sebuah agensi pelaksana sahaja, perkara ini memerlukan sokongan pihak atasan. Saya harap rayuan kami akan mendapat perhatian sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful memaklumkan, beliau mengeluarkan arahan tersebut setelah bertemu dengan mangsa banjir selaku peminjam PTPTN yang mengalami total loss apabila semua perabot dan perkakasan rumah rosak ditenggelami air.

Katanya, individu tersebut mencadangkan peminjam PTPTN yang ditimpa musibah banjir diberikan moratorium.

“Saya amat memahami permohonan ini. Semasa saya ditimpa musibah pada 2012, rumah saya terbakar keseluruhan dan saya hanya tinggal baju yang disidai di ampaian sahaja.

“Semua yang lain hangus dijilat api. Belanja untuk membina semula kehidupan selepas musibah sebegitu memang amat membebankan. Pada masa itu, saya bernasib baik ada kawan-kawan dan saudara mara yang sudi bantu saya,” katanya.