KUANTAN, 24 Dis – Isu kesesakan mangsa banjir yang berlaku di beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditangani termasuk melalui pembukaan 78 PPS baharu di seluruh negara.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini terdapat 5,809 PPS seluruh negara berbanding 5,731 yang didaftarkan sebelum ini.

Menurutnya, melalui pembukaan PPS baharu itu, tiada lagi isu kesesakan di PPS.

“Saya akui memang berlaku isu ini memandangkan jumlah mangsa yang ditempatkan di sesetengah PPS melebihi kapasiti sepatutnya.

Keadaan itu berlaku kerana jumlah mangsa yang berpindah di luar jangkaan awal kerana ada penduduk yang rumah mereka tidak pernah banjir turut mengalami bencana itu kali ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke PPS di Wisma Belia, di sini pada Jumaat.

Rina berkata, bila ada mangsa yang berpindah, mereka perlu diterima walaupun kapasiti PPS penuh sementara menunggu dipindahkan ke PPS baharu.

“Walaupun keadaan tidak selesa, paling penting mereka ada tempat berlindung yang selamat,” katanya.

Sementara itu katanya, pihak kementerian melaksanakan beberapa penambahbaikan di PPS termasuk menempatkan lebih ramai kaunselor untuk menangani emosi mangsa-mangsa banjir.

“Pada masa sama, kita juga menyediakan perkhidmatan MamaCare untuk membantu ibu-ibu yang bakal dan baru bersalin.

“Bantuan peralatan khas juga diberikan kepada ibu baru bersalin selain sesi rawatan sewajarnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, mana-mana pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) boleh terus menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir.

Menurutnya, usaha pihak-pihak yang tampil untuk membantu tidak boleh dihalang dengan kerenah birokrasi.

“Tetapi sebaiknya berdaftar dengan pihak berkuasa bertanggungjawab terutama jika bantuan dihantar ke PPS bagi memudahkan proses pengurusan,” katanya.