KUALA LUMPUR, 24 Dis – Tindakan keras akan dikenakan ke atas semua pendatang asing tanpa izin (PATI) sebaik tempoh Program Rekalibrasi untuk penghantaran pulang ke negara asal tamat pada Jun.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Imigresen tidak berhasrat untuk melaksanakan program seumpama itu lagi selepas ini.

“Saya berharap agar PATI yang masih belum tampil ke hadapan, mengambil kesempatan ini untuk pulang ke negara asal secara sukarela dan terhormat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Semalam diumumkan bahawa program itu telah dilanjutkan tempohnya dari 31 Dis kepada 30 Jun tahun depan.

Sejak program itu dilaksanakan bermula Disember tahun lepas, hampir 200,000 PATI telah berdaftar untuk pulang secara sukarela, dan kira-kira 160,000 telah pulang ke negara asal masing-masing.