KUALA LUMPUR, 25 Dis – Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meminta supaya kerja baik pulih di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda serta lapan lagi buah sekolah di kawasan sekitar yang terjejas akibat banjir segera dilakukan.

Mohd Radzi melalui hantaran Facebook rasminya memaklumkan, rentetan tinjauan yang dilakukan oleh beliau petang Jumaat ke sekolah tersebut mendapati bilik darjah, bengkel, makmal sains dan makmal komputer antara yang rosak teruk selepas ditenggelami air akibat banjir besar minggu lepas.

“Seramai 34 orang guru sekolah ini turut terkesan akibat banjir,” katanya melalui hantaran itu.

Turut serta dalam tinjauan tersebut Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan dan Pembangunan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Noor Azman Abdul Rahman.

Beliau berkata, KPM komited memastikan semua sekolah yang terlibat dalam kejadian banjir besar baru-baru ini diberi perhatian segera untuk memastikan persekitaran pembelajaran yang lebih selamat dan selesa kepada anak-anak generasi pewaris negara.