KUALA LUMPUR, 26 Dis – Sebanyak 400 set telekung dan sejadah diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir yang memerlukan keperluan solat oleh Skuad Prihatin BERSATU, memandangkan kelengkapan itu musnah akibat banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Ketua Penerangan ARMADA Malaysia Mohd Ashraf Mustaqim berkata 100 set telahpun diagihkan kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Dengkil manakala selebihnya diberi ke beberapa pusat bantuan.

“Namun atas izin Allah SWT, untuk saya menginfakkan sedikit harta rezeki saya untuk kerja-kerja amal membawa semangat dan nama ARMADA Task Force yang tanpa silu dan tanpa henti berbakti membantu mangsa banjir.

“Telah difahamkan banyak mangsa yang beragama Islam memerlukan peralatan solat selain barang keperluan asas lainnya. Ramai yang sejadah dan telekung hilang dibawa arus. Ada yang kotor dan berselut, nak cuci pun tak mampu hilang warna lumpur.

“Atas keinsafan ini juga, mewakili Penerangan Armada Nasional (PERDANA), kami telah gerakkan misi untuk menyumbang keperluan solat dengan menginfakkan rezeki peribadi bagi membeli keperluan dalam pada menjadi sistem sokongan bagi Skuad Prihatin Bersatu – Armada Task Force.

“Terdapat juga beberapa penyumbang yang telah membantu memberi sumbangan dana untuk meningkatkan jumlah pembelian telekung dan sejadah bagi misi Sumbang Solat mangsa banjir ini. Moga Allah SWT beri kemuliaan kepada tuan-tuan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, harga pemborong bagi keperluan solat terbabit adalah bernilai RM22 bagi setiap set di mana RM13 bagi telekung dan RM9 bagi sejadah.

Mengulas lanjut, katanya, ada di kalangan lelaki juga memerlukan kain pelikat dan perkara itu dalam usaha untuk dibantu.

Bagi yang ingin membantu, boleh salurkan sumbangan ke akaun berikut:

Nama Akaun : PERSATUAN PERINTIS JALUR BAKTI
Nombor Akaun : 8604944144
Jenis Bank : CIMB Bank Berhad
Rujukan (Reference) : SUMBANG SOLAT