KUALA LUMPUR, 27 Dis – Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang terlibat dengan banjir baru-baru ini boleh memohon penangguhan bayaran bermula 28 Disember 2021 sehingga 31 Mac 2022.

PTPTN berkata, bagi memudahkan mangsa banjir, tidak ada sebarang dokumen perlu dikemukakan ketika permohonan dibuat menerusi portal rasmi.

Penangguhan akan diberikan pada bulan yang sama kelulusan permohonan dibuat sehingga dua bulan seterusnya.

“Kelulusan penangguhan akan dimaklumkan kepada peminjam melalui e-mel dalam tempoh tiga hari bekerja dari tarikh peminjam mengemukakan permohonan.

“Untuk itu, peminjam diingatkan agar mengemas kini maklumat perhubungan yang tepat dan terkini bagi memastikan maklumat kelulusan permohonan penangguhan tersebut dapat disampaikan kepada mereka,” kata PTPTN menerusi kenyataan.

Selain menggunakan saluran portal rasmi untuk membuat permohonan, peminjam juga boleh terus ke kaunter.

PTPTN berharap, inisiatif ini akan dapat meringankan musibah yang dihadapi peminjam.