KUALA LUMPUR, 28 Dis – Tabung Bencana Banjir BERSATU yang berjumlah RM1 juta sepertimana yang diumumkan pada Perhimpunan Agung Tahunan BERSATU telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dana tambahan RM1 juta lagi telah berjaya dikutip hasil sumbangan beberapa dermawan, melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak.

“Saya telah meluluskan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.
Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.

“Saya juga telah menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang saya lawati.

“Saya turut berkesempatan bertemu dengan dua pengusaha bengkel yang mana peralatan bengkel mereka rosak akibat banjir.

“Insya-Allah, pihak BERSATU juga akan menghulurkan bantuan kepada dua pengusaha ini agar mereka dapat kembali beroperasi semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin menyertai misi bantuan pasca banjir Sukad Prihatin BERSATU di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui, Hulu Langat hari ini.

Misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir dan turut disertai oleh sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan BERSATU Bahagian Hulu Langat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin melahirkan penghargaan kepada semua pegawai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO )yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

“Marilah kita bersama-sama membantu dan menyumbang dalam apa jua cara yang termampu untuk membantu mereka membina semula kehidupan pasca banjir.

“Saya yakin dan percaya semangat bantu membantu yang telah ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa bencana yang terkesan teruk.

“Saya berdoa semoga mereka diberi kekuatan dalam berhadapan musibah ini dan saya juga berdoa agar para sukarelawan dan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan misi bantuan,” katanya.