KUALA LUMPUR, 3 Jan – Dalam membantu mangsa yang terkesan akibat banjir, Ahli Parlimen BERSATU Bagan Serai yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali turut turun padang bertemu dengan masyarakat dan membuat pemeriksaan kesihatan di beberapa kawasan yang terlibat.

Beliau baru-baru ini telah pergi ke Hulu Langat dan telah merawat mangsa banjir dari segi tekanan darah, paras gula dan kolestrol dalam badan serta memberikan ubat secara percuma kepada mereka.

Katanya lagi, usaha beliau itu adalah kerjasama dengan Hidayah Medic Sdn Bhd Batu Berendam, Melaka.

“Yang ringan saya rawat, yang kes berat kita hantar ke hospital, dan saya dibantu tiga doktor lain dari Hidayah Medik. Ini kerana ramai yg hilang ubat dan terperangkap masa banjir tanpa ubat.

“Selain itu, saya juga melihat jika ada penyakit penyakit lain seperti penyakit bawaan air seperti cirit birit, kepialu, kolera leptospirosis dan denggi, serta pencemaran makanan seperti muntah dan cirit birit,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau kemudiannya meneruskan program pada hari berikutnya di lokasi lain iaitu Taman Nanding di mana seramai 400 orang menerima bantuan makanan yang diberikan.

“Seterusnya saya ke Batu 20 Sungai Lui dan jalan kaki 1 kilometer kerana jalan terputus akibat tanah runtuh dan hakisan sungai, jalan tidak boleh dilalui.

“Saya melawat rumah rumah yang terkesan teruk di situ dan bertemu penduduk. Saya bersama doktor-doktor dari Universiti Malaya,” ujarnya lagi.