KUANTAN, 3 Jan – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sedia menyalurkan sumbangan banjir secara sekali bayar (one-off) kepada kakitangan dan nelayan yang terbabit dalam musibah banjir membabitkan tiga negeri pertengahan Disember lalu.

Ahli Parlimen BERSATU Bukit Gantang yang juga Pengerusi LKIM, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada nelayan manakala kakitangan LKIM menerima RM2,000 melalui bantuan kilat tabung bencana.

Menurutnya, mereka yang berdaftar dengan LKIM dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) boleh memohon bantuan membaiki kediaman sehingga RM10,000 dan RM1,000 untuk membeli peralatan atau kelengkapan menangkap ikan yang rosak.

“Secara keseluruhannya, seramai 277 nelayan di Selangor, Pahang dan Melaka terbabit secara langsung dengan kejadian banjir baru-baru ini dan pegawai serta kakitangan kita sudah mula mengagihkan bantuan (sumbangan) kepada mereka sejak 20 Disember lalu.

“Setakat ini, kita anggarkan banjir yang melanda beberapa negeri hujung bulan Disember lalu mengakibatkan kerugian kira-kira RM2 juta dan nilai (kerugian) ini dijangka meningkat selepas pihak LKIM dengan kerjasama persatuan nelayan selesai melakukan taksiran,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih pasca banjir di pejabat LKIM Pahang pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pengarah LKIM, Yusoff Othman dan Pengarah LKIM Pahang, Farah Shahadah Zakaria.

Sementara itu, mengulas lanjut tentang isu bekalan ikan segar sepanjang musim tengkujuh, Syed Abu Hussin berkata, perkara itu dapat diatasi memandangkan kejadian banjir tidak berlaku serentak di Pantai Timur dan Pantai Barat Semenanjung.

“Buat masa ini bekalan masih ada dan pagi tadi saya sempat meninjau kompleks pendaratan ikan LKIM di Tanah Putih, masih ada bot yang mendaratkan ikan dan ada bot keluar menangkap ikan walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

“Situasi banjir juga banyak menjejaskan hasil (tangkapan) nelayan di sebelah sini (Pantai Timur), namun bekalan dari (nelayan) Pantai Barat masih ada dan harganya juga masih berpatutan dengan memgambil kira situasi (cuaca) semasa,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pihak LKIM dengan kerjasama agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga sedang mengenal pasti lokasi bagi menghantar lori khas yang menawarkan jualan barangan basah kepada pengguna.

“Lori ini akan berfungsi sebagai pasar bergerak dan kita cadangkan ia digerakkan ke kawasan terjejas banjir untuk memudahkan penduduk mendapatkan bekalan barangan basah.

“Harga ditawarkan melalui konsep ini juga lebih murah, kita jual dengan potongan harga 30 peratus dan ini sekali gus dapat meringankan bebanan mereka,” katanya.