KUALA LUMPUR, 4 Jan – Jemaah umrah mempunyai pilihan untuk berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta atau kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd. Latiff Ahmad berkata, bagi kuarantin di stesen kerajaan, kos urusan kuarantin ditanggung oleh kerajaan termasuk makan, minum serta pengangkutan dari lapangan terbang.

“Kita faham ramai jemaah yang risau akan kos tambahan dan mungkin tidak selesa apabila dikuarantin nanti.

“Jemaah umrah mempunyai pilihan sama ada berurusan terus dengan stesen kuarantin swasta (rujuk hotel yang disenaraikan Nadma) atau stesen kuarantin yang diuruskan kerajaan.

“Bagi penempatan kuarantin yang diurus kerajaan, Person Under Surveillance (PUS) iaitu jemaah yang negatif ujian saringan Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan akan ditempatkan di hotel atau Pusat Latihan Awam bergantung kepada ketersediaan bilik pada hari ketibaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara pusat kuarantin di Kuala Lumpur adalah Hotel Royal; Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang; Hotel IBIS, KLCC; Hotel Furama, Bukit Bintang; Hotel Mercure Kuala Lumpur Shaw Parade; IBIS Style KL Fraser Business Park; Hotel AnCasa; Hotel Cosmo; Hotel KIP dan Hotel Arena Star.

Manakala di Selangor pula, Hotel Sama-Sama; Hotel Gorsett Grand, Subang; Hotel Crystall Crown, Petaling Jaya; Hotel Sunway Clio; Hotel Hilton Garden Inn, Puchong; Hotel Oriental Crystal; Hotel Summit, USJ dan Hotel Pegasus, Shah Alam.

Bagi stesen kuarantin kerajaan pula, Institut Latihan Awam (QS ILA) melibatkan Akademi Kepemimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Nilai; Institut Aminuddin Baki (IAB), Nilai; Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi; Institut Semarak Felda (ISEF), Bangi; Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Bangi dan Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur.