KOTA KINABALU, 4 Jan – Industri gas asli di Sabah dijangka terus membangun menerusi pelaksanaan Pelan Induk Gas Sabah yang dilancarkan hari ini.

Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pelan induk yang dilaksana menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) itu akan terus memacu pelaburan dalam sumber gas asli.

Hajiji berkata, pelan induk itu akan memberi fokus kepada tiga peluang pelaburan utama termasuk pembinaan loji gas asli cecair (LNG), dengan kapasiti 2.0 juta tan setahun (mtpa) di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Menurutnya, pembinaan LNG pertama di negeri ini akan membolehkan Sabah mengembangkan pengedaran LNG menerusi aktiviti seperti sistem saluran paip maya agar lebih banyak perniagaan perindustrian dan komersial dapat mengakses serta menggunakan gas asli sebagai sumber tenaga yang lebih bersih.

Sementara itu, peluang pelaburan kedua akan membolehkan Sabah menerajui aktiviti pemasaran dan pengedaran gas dengan adanya 120 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) bekalan gas yang akan disediakan bagi pembangunan industri utama.

Gas asli itu akan dibekalkan dari terminal minyak dan gas Sabah di Kimanis dan terminal gas Sabah di Tuaran.

“Untuk membolehkan bekalan itu disediakan, perjanjian induk (HOA) telah ditandatangani antara Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) dan Petronas untuk membekalkan 70 MMscfd gas asli serta pertukaran dokumen HOA yang ditandatangani sebelum ini bagi 50 MMscfd bekalan gas asli bagi kegunaan Sabah.

“Ketiga, pelan induk ini menekankan satu set derivatif pilihan petrokimia untuk Sabah bagi menarik pelabur berdasarkan keperluan pasaran dan prospek masa depan dengan memanfaatkan bahan mentah sedia ada di negara ini,” katanya semasa pelancaran Pelan Induk Gas Sabah di Menara Petronas hari ini.

Pelan induk itu adalah kesinambungan daripada perjanjian kerjasama komersial (CCA) pada 7 Disember tahun lalu.

Mengulas lanjut katanya, beberapa cadangan turut disyorkan agar lebih banyak aktiviti cari gali gas asli dilaksanakan bagi memastikan bekalan mampan dan mempunyai nilai tambah seperti pembangunan hiliran petrokimia.

Jelas beliau, sebuah entiti negeri akan dikenal pasti untuk memantau pelaksanaan cadangan Pelan Induk Gas Sabah.

Tambah beliau, SOGIP akan menjadi tapak pelaburan minyak dan gas hiliran utama Sabah pada masa hadapan namun, usaha akan diambil bagi menjadikannya lebih menarik kepada pelabur.