KLANG, 5 Jan – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengesan 100 kes peniaga culas dalam penguatkuasaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) di seluruh negara sehingga semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, berkata 100 kes itu membabitkan nilai kompaun berjumlah RM21,300.

Beliau berkata, pencapaian nasional pelaksanaan di bawah SHMKM sehingga semalam, menyaksikan 31,520 premis diperiksa membabitkan 644 premis borong dan 30,876 premis runcit.

“Penguatkuasaan itu menghasilkan 100 kes iaitu 76 kes di bawah kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas, 14 kes tiada tanda harga dan 10 kes menjual melebihi harga maksimum.

“Di Selangor, enam kes dikesan iaitu empat kesalahan gagal menggunakan tanda harga khas dan dua kes menjual melebihi harga maksimum, selepas pemeriksaan dibuat terhadap 1,905 premis termasuk 12 premis borong,” katanya.

Rosol berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah skim ini.

“Mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya.

Terdahulu, beliau bersama KPDNHEP Selangor menjalankan tinjauan dan pemeriksaan pematuhan skim di dua lokasi iaitu Kompleks Pasar Besar Jalan Meru dan Pasaraya AEON Mall Bukit Raja, sempena lanjutan tempoh pelaksanaan SHMKM sehingga 4 Februari depan.

Pada masa sama, Rosol turut menyantuni pengunjung di sekitar lokasi pemeriksaan bagi mendapatkan reaksi balas pengguna berhubung pelaksanaan skim itu.

Katanya, prestasi pematuhan peniaga di sekitar Selangor di tahap memuaskan kerana jumlah peniaga tidak patuh amat minimum dan peniaga terus dinasihatkan agar kekal beri kerjasama untuk konsisten mematuhi skim ini.

“KPDNHEP juga menyambut baik langkah sebilangan peniaga yang menjual 12 barangan keperluan di bawah skim ini pada harga lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan.

“Ini sekaligus menunjukkan semangat Keluarga Malaysia yang tinggi dalam kalangan peniaga dan KPDNHEP berbesar hati untuk melihat kerjasama sebegini daripada lebih ramai peniaga,” katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat dan pegawai pemantau harga (PPH) KPDNHEP di seluruh negara juga komited berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

“Langkah-langkah ini mencerminkan usaha berterusan bagi melindungi Keluarga Malaysia daripada aktiviti pengambilan keuntungan berlebihan oleh peniaga tidak beretika.

“KPDNHEP juga konsisten menggerakkan sejumlah 2,200 penguat kuasa di seluruh negara bagi penguatkuasaan SHMKM yang dilanjutkan sehingga 4 Februari depan,” katanya.