RANTAU PANJANG, 5 Jan – Seramai 500 sukarelawan Armada BERSATU digerakkan bagi membantu penduduk yang terjejas banjir di seluruh negara.

Ketua Armada Nasional Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata sukarelawan terbabit akan membantu mangsa banjir yang tidak berdaftar secara rasmi di pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendapat bantuan wang ihsan yang disediakan oleh kerajaan.

“Saya diberitahu ramai warga emas yang tidak tahu prosedur untuk mendaftar.

“Jadi kami sudah gerakan semua jentera Armada di seluruh bahagian untuk membantu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Kampung Serongga, pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Kelantan Datuk Kamarudin Md Nor; Ketua Bahagian BERSATU Rantau Panjang, Datuk Shaari Mat Hussin dan Ketua Bahagian BERSATU Tanah Merah merangkap Ketua Penerangan Negeri Kelantan, Bahari Mohamad Nor hadir bersama melalui Skuad Prihatin BERSATU ke Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal menegaskan rombakan kabinet yang sedang bertiup kencang ketika ini hanya desas-desus.

Katanya, perkara tersebut disahkan oleh Pengerusi BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sesi penerangan antara kepimpinan tertinggi parti.

“Tidak adil untuk saya komen mengenai perkara itu, kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pucuk pimpinan tertinggi parti lain untuk membuat keputusan,” katanya.

Menurutnya, kabinet yang dibentuk melibatkan pelbagai gabungan parti iaitu BERSATU, PAS, Barisan Nasional, GPS dan lain-lain.