PAGOH, 5 Jan – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai hak untuk membuat sebarang perubahan dalam barisan Kabinet beliau mengikut perancangan tersendiri.

Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau ada membaca berita atau spekulasi berkaitan perkara itu, namun enggan mengulas lanjut termasuk ketika ditanya kewajaran melakukan perkara berkenaan.

“Saya bukan Perdana Menteri, elok tanya Perdana Menteri (dan) kalau ada pun itu perancangan Perdana Menteri buat.

“Saya tak boleh nak komen, itu hak Perdana Menteri (sama ada) dia nak rombak atau tak rombak, itu hak dia. Tapi, biasalah dalam politik, orang buat ramalan, jadi, terserah kepada Allah SWT dan Perdana Menteri untuk putuskan,” katanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri dan Ahli Parlimen Pagoh berkata demikian ketika ditemui semasa meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Jawa di Lenga, pada Rabu.

Semalam, media melaporkan setelah hampir lima bulan menerajui kerajaan Keluarga Malaysia, Ismail Sabri dijangka melakukan rombakan Kabinet dan melantik Timbalan Perdana Menteri minggu hadapan.

Namun, Ismail Sabri ketika mengulas khabar angin itu berkata, selagi tiada kenyataan rasmi daripada beliau berhubung perkara tersebut, orang ramai boleh menganggap cerita berkenaan sebagai spekulasi.

Tegasnya, senarai nama yang bertebaran di mana-mana platform media adalah perkara biasa, yang mana boleh dianggap sebagai kebiasaan seperti sebelum ini.

“Saya sekarang fokus pada banjir, kita fokus banjir. Benda-benda lain itu biarlah, belum lagi. Belum ada apa-apa lagi, tapi banyak spekulasi. Selagi saya tak buat kenyataan, spekulasi kita anggap,” tegas Ismail Sabri.