KOTA MARUDU, 5 Jan – Keputusan bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Peter Anthony mahu menubuhkan parti baharu mesra kerajaan akan menguatkan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pihaknya melihat ia sebagai satu perkembangan yang baik dalam politik di Sabah.

“Itu dia punya (keputusan), kita mengamalkan demokrasi. Beliau telah membuat keputusan mahu menubuhkan parti baharu dan akan mesra dengan GRS.

“Bagi saya sebagai Ketua Kerajaan GRS, ini satu perkembangan yang baik kerana akan menguatkan lagi kerajaan negeri. Jadi kita berterima kasih lah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan bantuan banjir di Pentas Utama Padang Kota Marudu pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pandangan beliau berhubung keputusan Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap yang mengumumkan akan menubuhkan parti baharu selepas keluar daripada Warisan baru-baru ini.

Diminta mengulas lanjut, adakah Peter sudah menghubunginya secara peribadi, Hajiji berkata, setakat ini belum ada sebarang pertemuan lagi.

“Belum lagi (berhubung dengan Peter),” katanya ringkas.

Peter pada 28 Disember lalu mengumumkan keluar parti bersama ADUN Limbahau, Datuk Juil Nuatim dan akan menubuhkan parti baharu berasaskan Kadazandusun dan Murut (KDM).

Peter menyatakan penubuhan parti baharu yang akan dirasmikan awal bulan ini adalah sebagai mesra GRS.

Sebelum itu, dalam majlis terbabit, Hajiji menyampaikan wang ihsan sebanyak RM1,000 dan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini.

Beliau berkata, tinjauan telah dibuat di dua daerah yang dilanda banjir iaitu Pitas dan Kota Marudu serta turut menerima taklimat daripada pegawai daerah di kedua-dua kawasan.

“Memang kedua-dua daerah ini mengalami banyak kerosakan dan mangsa banjir terutama yang dipindahkan ke PPS telah menerima wang ihsan RM1,000,” katanya.