PITAS, 5 Jan – Semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah diarah menyalurkan maklumat tepat berkaitan kesan bencana akibat banjir di kawasan masing-masing.

Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor berkata, semua maklumat seperti jumlah mangsa, kerosakan harta-benda dan infrastruktur asas amat penting disalurkan secara telus dan adil.

Menurutnya, ia bagi memastikan pengurusan pasca banjir efisien khususnya dalam aspek penyaluran bantuan kerajaan.

Katanya, setiap laporan terbabit bakal memudahkan jabatan dan agensi berkaitan untuk membuat semakan di samping menilai tahap kerosakan mahupun kerugian bagi tujuan membaik pulih mengikut keutamaan serta keperluan penduduk.

“Kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan akan sentiasa bekerjasama rapat dalam membantu rakyat terbabit dalam banjir di negeri ini menerusi beberapa peruntukan khas disediakan bagi meringankan beban ditanggung mereka.

“Untuk itu, kita memerlukan maklumat tepat dan adil mengenai situasi banjir ketika ini dan pengerusi (PKOB) meneliti (setiap peruntukan bantuan banjir disediakan kerajaan) supaya bantuan boleh disalurkan kepada penduduk (mengikut keutamaan),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat oleh Pegawai Daerah Pitas, Firuz Idzualdeen Mohd Dzul berhubung situasi semasa bencana banjir di daerah terbabit, pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.