JOHOR BAHRU, 5 Jan – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan agar pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu di negeri ini dijarakkan hanya setengah meter berbanding satu meter, sebelum ini.

ADUN BERSATU Bukit Permai yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor, Tosrin Jarvanthi berkata perubahan itu berkuat kuasa bermula Jumaat ini iaitu pada 7 Januari hingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Katanya, turut dipersetujui adalah solat hajat dilaksanakan selepas solat Maghrib pada setiap hari dan selepas solat Jumaat setiap minggu di semua masjid dan surau negeri ini.

“Tujuannya adalah bagi memohon kesejahteraan buat negeri dan negara daripada segala musibah dan wabak penyakit.

“Selain itu, program pengimarahan masjid dan surau seperti kuliah dan ceramah agama ditambah daripada tempoh masa hanya satu jam kepada dua jam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, penjarakan jemaah ditetapkan kepada satu meter setiap jemaah akibat negara ini dilanda pandemik Covid-19 sejak Mac 2020 lalu.

Menurut Tosrin, bacaan qunut Nazilah hendaklah dibaca dalam solat Jumaat setiap minggu di seluruh negeri.

“Dalam pada itu, ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan surau perlu terus memastikan semua jemaah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“SOP tersebut termasuklah memakai pelitup muka, lengkap dua dos vaksin, membawa sejadah sendiri dan tidak mempunyai sebarang gejala,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak rakyat khususnya masyarakat muslim di negeri ini untuk sama-sama berdoa agar beroleh perlindungan daripada segala wabak dan bencana.