KUALA LUMPUR, 7 Jan – Sistem pengurusan pertukaran dan penempatan guru (e-GTukar) dengan beberapa penambahbaikan fungsi baharu sudah dilaksanakan mulai 1 Januari lalu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, guru sudah boleh mengakses aplikasi itu mulai tarikh yang sama.

Susulan perubahan kepada aplikasi itu, katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) sudah menerima pelbagai pandangan dan maklum balas daripada guru yang membuat permohonan melalui e-GTukar.

“KPM sedang meneliti pandangan yang diberikan,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

September lalu, KPM mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) di Sekolah dan Kolej Vokasional dikeluarkan pada 23 September lalu bagi menggantikan SPI Bil 3/75: Panduan Bagi Pertukaran Guru-Guru dan SPI Bil 1/1978: Tarikh Bagi Pertukaran Guru-Guru, dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

SPI itu menjadi asas pertukaran guru yang digunakan KPM sejak dikeluarkan pada 1975 dan 1978.

Radzi berkata, KPM komited untuk mengoptimumkan lagi aplikasi baharu itu berdasarkan penelitian terhadap pandangan yang diterima.

“Terima kasih guru-guru atas pandangan anda semua mengenai sistem baharu yang dilancarkan ini,” katanya.