KOTA BHARU, 7 Jan – Peralihan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kelantan sejak 3 Januari lalu menunjukkan tanda positif bahawa tahap ekonomi negeri ini akan menjadi lebih tersusun.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi, berkata walaupun Kelantan menjadi antara negeri yang lambat beralih ke Fasa Empat PPN, namun ia membuktikan rakyat akan kembali dalam kegiatan ekonomi yang lebih baik.

Berikutan itu, beliau yang juga Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu, berkata pelbagai program yang sedang dirangka bersama agensi kerajaan dalam masa terdekat terutama bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Kita cadangkan (program pemulihan ekonomi) pada Mac ini, dan mungkin misalnya satu insiatif dilakukan adalah memberi potongan harga untuk semua servis di kaunter membabitkan agensi kerajaan seperti Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan lain-lain.

“Program pemulihan ekonomi ini masih dalam proses perbincangan dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Ini adalah untuk memberi keringanan kepada rakyat yang sangat terkesan sengan Covid-19.

“Kita harap dalam masa terdekat dapat pulihkan ekonomi dan pada masa sama akan jalankan inisiatif berkesan supaya kehidupan dan kegiatan ekonomi di Kelantan akan kembali normal,” katanya kepada media hari ini.

Farid yang juga Setiausaha Politik Menteri Dalam Negeri sebelum itu menghadiri program ‘Street Soccer’ yang dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Bayam, di sini hari ini.

Beliau kemudian menghadiri Majlis Ramah Mesra Jawatankuasa DUN dan PDM BERSATU Bunut Payong, selain mengagihkan Bakul Makanan kepada 30 penerima di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Farid yang juga Ahli Majlis MARA, berkata beliau sedang merancang Program MARA yang akan memberi kesan ekonomi secara langsung kepada Kelantan.

“Kita rancang program pada Mac ini supaya apabila kita masuk kepada bulan puasa, kegiatan ekonomi di Kelantan sudah berada pada tahap sesuai untuk pulih sepenuhnya sehingga hujung tahun ini,” katanya.