KUALA LUMPUR, 7 Jan – Kerajaan digesa meneliti semula kajian dasar perumahan negara di kawasan bandar, bagi menjadikan Kuala Lumpur dan Lembah Klang mampu didiami oleh semua lapisan masyarakat.

Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Mahathir Mohd Rais berkata walaupun kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Perumahan Awam Kos Rendah Bersepadu (PAKRB), Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) di samping Program Perumahan Rakyat (PPR), majoriti kumpulan B40 malangnya masih tidak mampu memiliki kediaman sendiri.

“Ada yang berpendapat, harga hartanah di Kuala Lumpur dijangka terus meningkat susulan daripada pandemik COVID-19, namun, pembinaan mercu tanda bagi golongan ‘kayangan’ dan pembeli antarabangsa terus berlanjutan bagai cendawan yang tumbuh selepas hujan.

“Aspek perancangan pembangunan bandar memainkan peranan yang sangat penting dan ia mestilah bersifat masa hadapan, di samping mempunyai visi serta misi bagi mewujudkan bandar sebagai kediaman sesuai dan selesa untuk dihuni,” katanya hari ini.

Mahathir berkata, permasalahan pembangunan perumahan di bandar berpunca daripada penawaran rumah mampu milik dan kos rendah yang masih tidak dapat memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah.

Jelasnya, harga rumah agak tidak masuk akal ketika ini, lantaran kegilaan pemaju merebut tanah ‘murah’ untuk diubah menjadi sebuah projek perumahan kos tinggi, semata-mata demi meraih keuntungan.

“Pemilikan mahligai sendiri dan perumahan sosial semakin tidak dapat dicapai buat golongan muda di saat ini, malah mereka berdepan situasi genting apabila pasaran pekerjaan semakin mencabar dan dibebani pula hutang sebagai pelajar dan pembaharuan kesejahteraan yang semakin meningkat.

“Inilah yang menyukarkan keadaan mereka yang tinggal di bandar untuk membeli rumah kos rendah. Selain daripada itu, mereka juga perlu menghadap karenah birokrasi dan amalan korupsi di kalangan penjawat awam serta ahli politik dalam penempatan perumahan,” katanya.

Sehubungan itu Mahathir menegaskan, dasar perumahan yang diamalkan kerajaan ketika ini mengundang kemarahan masyarakat di bandar kerana dilihat masih gagal menyediakan pertumbuhan lestari buat kumpulan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, kelemahan yang wujud itu menyebabkan golongan berkenaan kembali berhijrah ke kampung kerana kecewa, apabila tiada tindakan serius daripada kerajaan bagi menangani isu terbabit.

“Jaminan kerajaan bagi projek besar seperti Menara Merdeka 118 membuatkan sukar bagi pengundi muda khususnya di bandar untuk mengetahui apa hasil boleh diharapkan dari suntikan dana berbilion ringgit yang dijanjikan ke arah infrastruktur.

“Kita harus sedar bahawa masa depan dasar kelestarian negara bergantung kepada keberkesanan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh rakyat di bandar dan luar bandar,” katanya.