KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus kekal sebagai agensi yang dipercayai oleh rakyat, tanpa mengira warna politik.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerana itu, beliau mahu kerajaan memberi perhatian terhadap kritikan demi kritikan terhadap SPRM ketika ini.

“Jangan biarkan kepercayaan itu terhakis. Jika tuduhan itu benar, ia mesti ditangani serta-merta.

“Jika tuduhan itu palsu, mesti juga ada tindakan kepada mereka yang sengaja menyebarkan tuduhan palsu kepada entiti yang sebegitu penting.

“Janganlah kita jadikan ini sebagai isu politik. Entiti seperti SPRM ini terlalu penting untuk dibiarkan menjadi modal politik mereka yang mahu ambil kesempatan. Kita mahu semua orang kekal percaya kepada kredibiliti institusi ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Wan Saiful berkata SPRM merupakan satu entiti amat penting dalam usaha memastikan integriti dan tadbir urus yang baik dalam negara.

“Saya sendiri beberapa kali meminta nasihat daripada SPRM dalam beberapa isu kerana SPRM seharusnya menjadi rujukan kita dalam menegakkan integriti pentadbiran negara,” katanya.

Isu pemilikan saham atas nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki terus menjadi topik hangat ketika ini meskipun penjelasan telah dibuat secara terbuka.

Ia susulan pada Rabu, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dalam sidang akhbar khasnya mengakui berpuas hati dengan penjelasan Azam bahawa pemilikan saham yang menjadi pertikaian itu sebenarnya adalah milik adik Azam iaitu Nasir Baki.

LPPR dilapor mendapati tiada sebarang perlakuan jenayah atau konflik kepentingan dalam perkara tersebut.

Azam dalam sidang akhbar sama juga dilaporkan berkata, tindakan adiknya, Nasir Baki menggunakan akaunnya untuk membeli saham tidak harus menjadi isu kerana sesiapa sahaja boleh menggunakan akaun orang lain untuk membeli saham di pasaran terbuka dan ia tidak menjadi satu kesalahan untuk berbuat demikian.