DUNGUN, 7 Jan – Prihatin atas kesusahan mangsa banjir, Skuad Prihatin BERSATU menghulurkan sumbangan kepada 200 penduduk terjejas banjir di empat kampung di Terengganu.

Bantuan berbentuk barangan makanan dan peralatan sekolah berjumlah RM34,000 itu diagihkan menerusi misi kemanusiaan diketuai Ketua Armada BERSATU Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal bersama 100 sukarelawan dari ibu negara dan Pantai Timur.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan berkata sumbangan tersebut diagihkan kepada penduduk di empat kampung iaitu Kampung Pasir Raja, Kampung Minda, Kampung Shukor di daerah Dungun serta Kampung Air Putih di Kemaman.

“Hari ini kita bekerjasama dengan agensi kerajaan, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) untuk mengagihkan sumbangan dari rumah ke rumah bagi meringankan beban mangsa banjir.

“Walaupun bencana tersebut telah pulih sepenuhnya, mereka masih kekurangan barangan keperluan seperti makanan dan anak-anak juga amat memerlukan kelengkapan persekolahan yang akan dibuka Ahad ini,” katanya pada program misi bantuan banjir Skuad Prihatin BERSATU di Kampung Pasir Raja hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharuddin Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Fayhsal berkata beliau menyasarkan 50,000 keahlian baharu tahun ini.

Bagi mencapai sasaran tersebut, pihaknya merangka pelbagai program sukarelawan bagi menarik minat golongan muda terutama di kawasan kampung.

“Kami di BERSATU tidak utamakan kuantiti, tetapi penglibatan anak muda yang berkualiti sebagai penggerak atau jentera parti. Jumlah ahli Armada setakat Disember lepas ialah 190,000 orang,” katanya.