HULU LANGAT, 7 Jan – Pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) warga Rohingya diingatkan supaya tidak bersikap keras kepala dalam sebarang tindakan dilakukan, selain perlu memahami kedudukan mereka yang berstatus pelarian.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan bersimpati dengan keadaan dialami golongan ini, namun sebarang tindak-tanduk yang mendatangkan permasalahan kepada negara akan dikenakan tindakan.

Beliau berkata mereka ini mempunyai kad UNHCR dan tidak boleh beranggapan bahawa Malaysia ini negara ‘cemetery’.

“Kita hanya bantu atas sifat perikemanusiaan tapi janganlah sampai naik kepala, kerana saya tidak suka kepada sesiapa yang naik kepala kepada undang-undang kita.

“Kita tidak mahu timbul permasalahan lain misalnya di kawasan lampu isyarat di ibu kota berlakunya tindakan memaki hamun orang awam dan ia tidak patut berlaku di dalam negara ini,” katanya kepada pemberita pada program MEKAR Prihatin Pascabanjir di Taman Sri Nanding, dekat sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan dilakukan kanak-kanak warga Rohingya yang didapati meminta sedekah, selain bertindak agresif kepada pemandu kenderaan di sekitar Cheras yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, Hamzah berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan semua syarikat penerbangan berhubung kemasukan pengembara luar dijangkiti varian Omicron, selain tidak mempunyai rekod vaksinasi Covid-19.

“Ia terjadi di mana sebelum mana-mana individu menerima pas pelepasan daripada syarikat penerbangan, semua butiran mengenai rekod vaksinasi perlu dikemukakan dan disemak secara teliti manakala Jabatan Imigresen kemudiannya akan menerima sebelum memberi pelepasan untuk melakukan penerbangan.

“Namun, jika pas pelepasan itu sudah diserahkan kepada imigresen tanpa diketahui sejauh mana pihak yang memohon itu lengkap vaksinasi atau tidak, takkan kita hendak tarik balik dan tidak membenarkan mereka membuat penerbangan kerana bagaimana sesuatu pampasan itu hendak dituntut?,” katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata pihaknya mengambil maklum mengenai laporan polis dilakukan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Azam Baki hari ini.

“Kita baru menerima laporan itu, tapi kita akan siasat mengikut akta tertentu dan barulah akan membuat siasatan,” katanya.

Pada Rabu lepas, Azam menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas banyak syarikat termasuk syarikat konglomerat, serta menyifatkannya sebagai tohmahan yang berniat jahat.

Azam dilaporkan berkata ia merupakan satu penipuan besar untuk memberi persepsi negatif terhadapnya.