ALOR SETAR, 8 Jan – Kerajaan perlu memikirkan jalan terbaik dalam menangani isu pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) RM10,000 secara sekali keluar (i-Citra) yang terus mendapat desakan beberapa pihak sebelum ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu tersebut akhirnya didapati dipolitikkan setelah menjadi pendebatan pelbagai pihak.

Kata beliau, niat asal itu baik untuk memastikan mangsa banjir khususnya mendapat pembelaan sewajarnya dan secara logiknya pencarum boleh menggunakan pada waktu terdesak ini.

“Namun pihak kerajaan pula berpendapat, jika dikeluarkan sekarang maka dana (milik pencarum) tidak dapat digunakan pada masa hadapan.

“KWSP ini tujuannya untuk masa depan, masa hari tua. Kita perlu mula keluar dari kepompong politik berbentuk populis iaitu seperti andaian keluar dana hari ini, untuk esok difikirkan kemudian, ini bentuk pemikiran populis jangka pendek,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Program Isi Minyak Percuma anjuran Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Nasional (PTPTN) bersama badan bukan Kerajaan (NGO) Inisiatif Bina Bangsa (BINA) di sebuah stesen minyak, hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian BERSATU Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani.

Mengulas lanjut, Wan Saiful yang juga Pengerusi PTPTN berkata, pendebatan yang berlaku itu perlu keluar daripada kepompong politik populisme dan berfikir secara rasional untuk kebaikan rakyat pada masa panjang.

Katanya, pada masa ini masyarakat mula menyatakan bahawa kerajaan patut membenarkan pengeluaran i-Citra dan sekiranya tidak diluluskan, kerajaan dianggap sebagai gagal.

Bagaimanapun, tambahnya, terdapat pihak lain pula menyatakan kerajaan tidak wajar meluluskan pengeluaran KWSP itu bagi menjaga simpanan pencarum pada masa hadapan.

“Dua-dua pemikiran ini logik namun kita memerlukan perbincangan yang rasional tidak dipengaruhi agenda politik orang yang ada kepentingan.

“Kerajaan selalu bagi bantuan serta merta, saya rasa isu sebenarnya adalah mudah atau sukar untuk rakyat akses bantuan-bantuan kerajaan ini,” ujarnya.