KUALA LUMPUR, 8 Jan – Kementerian Pendidikan sedang mendapatkan maklumat lengkap mengenai kerosakan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Balai Ringin, Serian, Sarawak yang terbabit dalam kebakaran awal pagi tadi.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan) Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, tindakan susulan segera akan diambil mengenai insiden itu.

“Insya-Allah, kami akan ikhtiarkan yang terbaik untuk warga SMK Balai Ringin.

“Saya dimaklumkan, kebakaran itu turut melibatkan bilik guru dan blok pentadbiran.

Alhamdulillah tiada kemalangan jiwa dilaporkan bagi kejadian tersebut,” katanya kenyataan di Facebook, pada Sabtu.

Katanya, beliau pernah melawat ke sekolah berkenaan ketika kunjungan ke Sri Aman, tahun lalu.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.04 pagi itu memusnahkan blok pentadbiran bilik guru di tingkat atas bangunan.

Sekolah yang terletak di Kilometer 93, Jalan Kuching – Sri Aman itu memiliki lebih 1,700 pelajar dan sekitar 100 guru.