KUALA LUMPUR, 9 Jan – Sektor ekonomi tertentu dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih daripada kesan pandemik COVID-19, meskipun Malaysia diunjur melakar pertumbuhan positif tahun ini.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika mengutarakan pendirian sedemikian berkata, kelembapan ekonomi itu berpunca daripada pelbagai kekangan seperti kekurangan tenaga kerja, isu pembiayaan dan peningkatan harga barang serta perkhidmatan.

Sehubungan itu, katanya, rintangan yang merencatkan kadar pemulihan ekonomi negara itu wajar dirungkai secepat mungkin, menerusi pendekatan secara menyeluruh membabitkan kerjasama semua pihak.

“Saya percaya, kita tidak boleh menganggap bahawa sektor perniagaan harus berjalan seperti biasa, memandangkan krisis ini tidak pernah melanda negara dan terdapat keperluan untuk hidup dalam norma baharu.

“Seluruh jentera kerajaan harus menjalin kerjasama dengan pihak industri untuk merungkai pelbagai isu yang membelenggu sektor ekonomi dan merintis usaha ke arah pemulihan dalam tempoh singkat.

“Bagi memastikan usaha ini berjaya, kerajaan perlu faham keperluan industri dan bertindak mengikut keperluan mereka bagi memacu proses pemulihan ekonomi negara.

“Justeru, libat urus yang berterusan harus diadakan antara kerajaan dan industri bagi menjamin setiap keputusan dibuat secara terangkum dan menyeluruh,” katanya menerusi ucaptama sempena Malam Penghargaan Model Peranan Persatuan Usahawan Maju Malaysia (PUMM), malam tadi.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, kerajaan boleh merangka tindakan intervensi untuk menyelesaikan sebarang isu yang dikesan menjadi penghalang terhadap proses pemulihan ekonomi.

Berdasarkan pendekatan itu, katanya, persatuan seperti PUMM boleh memainkan peranan penting sebagai pemangkin kerjasama antara kerajaan dan pihak industri, sekali gus memacu pertumbuhan pada kadar lebih cepat.

“Kita perlukan sokongan komuniti perniagaan untuk tidak mengaut keuntungan melampau menyebabkan peningkatan harga barang di pasaran dan menambah beban masyarakat.

“Pada masa sama, teguhkan pendirian dengan menjalankan perniagaan mengikut prinsip murni dan jauhi amalan rasuah,” katanya.