KOTA BHARU, 9 Jan – Pengusaha kantin dan pelbagai premis sewaan termasuk kedai buku dan dobi dalam bangunan sekolah di seluruh negara akan dikecualikan daripada bayaran sewa selama enam bulan bermula pada Januari tahun ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Radzi Jidin, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan itu dengan mengambil kira bebanan yang ditanggung dan kesan terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Kami menerima banyak permohonan daripada pengusaha kantin dan premis-premis meminta daripada dikecualikan daripada bayaran sewa kantin yang diusahakan.

“Jadi, kami bersejutu terhadap perkara itu dan memberikan pengecualian kepada mereka selama enam bulan bermula Januari sehingga Jun tahun ini,” katanya pada sidang akhbar, pada Ahad.

Beliau sebelum itu melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail di sini sempena pengoperasian hari pertama persekolahan di Kelantan bagi bagi penggal ketiga 2021/2022.

Menurut beliau, lebih 10,000 pengusaha kantin dan penyewa pelbagai premis yang akan menerima manfaat daripada pengecualian bayaran sewa terbabit.

“Perkara ini semestinya menggembirakan mereka dan meringankan beban pengusaha kantin dan premis-premis sewaan termasuk kedai buku, dobi, mesin air serta koperasi dalam sekolah.

“Maklumat terperinci dan makluman kepada pihak yang berkaitan akan diberitahu dalam waktu terdekat,” katanya.

Dr Radzi berkata, pengecuali itu juga memberi kemudahan kepada pengusaha kantin dan penyewa-penyewa lain untuk meneruskan kelangsungan perniagaan mereka dalam sekolah.

“Pemberian ini bukan penangguhan bayaran sebaliknya terus tidak perlu membayar sewa selama enam bulan berturut-turut,” katanya.