KOTA BHARU, 9 Jan – Sayap Bersekutu BERSATU memperuntukkan RM800,000 sebulan dalam bentuk bakul makanan untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan di setiap bahagian di seluruh negara.

Ahli Jawatankuasa Sayap Bersekutu BERSATU negeri Johor Datuk Tan Lek Khang berkata, peruntukkan tersebut membabitkan 15,000 bakul makanan sebulan.

Katanya, program tersebut telah dilancarkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada November tahun lalu dan akan diteruskan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

“Program ini amat baik kerana kita dapat menolong rakyat yang memerlukan bantuan. Selain itu, ia juga sedikit sebanyak meringankan beban rakyat ketika pandemik COVID-19 serta mangsa banjir.

“Seperti kawasan saya di Labis, Johor, kami mengagihkan 1,000 bakul makanan setiap bulan sejak tiga tahun lalu kepada penduduk setempat yang memerlukan,” katanya memetik Journal Malaysia, di Hotel Perdana, hari ini.

Beliau berkata, program tersebut mendapat sumbangan daripada beberapa syarikat tempat selain rakan-rakan yang turut menghulurkan bantuan.

“Saya hari ini mewakili Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Mohamed Farid Zawawi turun ke Kelantan untuk bertanyakan ketua bahagian apa yang mereka perlukan.

“Selepas Kelantan, kita akan ke negeri Kedah dan Perlis,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Farid memuji inisiatif yang dilakukan oleh Sayap Bersekutu BERSATU yang baru ditubuhkan itu.

Ketua BERSATU Bahagian Kota Bharu itu berkata, ianya satu cara baharu BERSATU dan akan terus menyumbang kepada usaha mengukuhkan parti di seluruh negara.

“Program bakul makanan ini merupakan sumbangan yang paling hebat serta besar dan saya ucapkan terima kasih kerana BERSATU Bahagian Kota Bharu sudah menerima 350 kota secara berkala.

“Kita sudah ada senarai penerima yang akan menerima bakul makanan untuk fasa pertama ini dan disebabkan Tahun Baharu Cina sudah hampir, jadi kami utama kepada golongan Cina terlebih dahulu,” katanya.