KUALA LUMPUR, 10 Jan – BERSATU tidak terkesan dengan perkembangan beberapa pemimpin parti itu, termasuk dua ADUN, menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata BERSATU akan terus bergerak dengan agenda integriti, tadbir urus yang baik, anti rasuah dan anti salah guna kuasa, demi memberikan manfaat kepada keseluruhan rakyat tanpa mengira kaum, bangsa atau agama.

Malah Wan Saiful berkata BERSATU juga semakin berkembang, dengan bilangan keahlian yang meningkat setiap bulan.

“Ramai wartawan menghubungi saya mengenai pengumuman senarai AJK Parti Bangsa Malaysia.

“Saya telah sebutkan sebelum ini bahawa perjuangan BERSATU tidak terkesan dengan perkembangan ini.

“Perlembagaan BERSATU jelas mengatakan sekiranya mana-mana ahli BERSATU menyertai parti lain, maka keahlian mereka secara automatik tergugur. Peraturan ini konsisten dan terpakai kepada semua,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Terdahulu, Ahli Parlimen Julau Larry Sng, yang sebelum ini keluar PKR, mengambil tampuk kepimpinan PBM sebagai presiden baru.

Antara pemegang jawatan baru PBM yang terkenal termasuk ADUN Tronoh Paul Yong dan ADUN Buntong A Sivasubramaniam, daripada BERSATU yang sebelum ini berasal dari DAP.