HULU LANGAT, 10 Jan – Unit Tindakhas (UTK) Polis Diraja Malaysia bakal memiliki kompleks pejabat dan pusat latihan sendiri di Kem Batalion 4, Pasukan Gerakan AM (PGA), Semenyih selepas 47 tahun penubuhannya sejak 1 Januari 1975.

Setiausaha Agung BERSATU yang juga Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, berkata projek pembinaan kemudahan canggih bernilai RM157 juta yang dibuat secara tender terbuka itu akan disiapkan dalam masa 176 minggu iaitu pada 18 Mei 2024.

Beliau berkata, pembinaan projek berkenaan di tapak seluas 24 hektar itu sepatutnya bermula pada Ogos 2021 namun ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Projek ini membolehkan pegawai dan anggota UTK mempunyai pusat latihan yang canggih sekali gus mempertingkatkan kualiti kerja pasukan pada masa depan.

“Sebelum ini kita gunakan (kemudahan) dengan kerjasama unit-unit lain dan tiada yang khusus untuk UTK. Sebab itu kita kena buat sebaik mungkin kerana pengkhususan harus diberikan kepada UTK,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembinaan Pejabat dan Pusat Latihan Unit Tindakhas PDRM, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya (Sektor Bangunan), Datuk Ir Habbali Ibrahim.

 

Mengulas lanjut, Hamzah, berkata projek yang dikendalikan oleh syarikat pembinaan Pertama Makmur Sdn Bhd itu antaranya merangkumi bangunan pentadbiran, bilik keselamatan VVIP dan laluan bawah tanah, pejabat dan bengkel cawangan kenderaan dan gudang simpanan bahagian persenjataan.

“Turut dibina ialah dewan serba guna, kompleks latihan tempur, hangar latihan serbuan kapal terbang dan kompleks selam tempur,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah, berkata pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan UTK adalah projek yang diberi keutamaan khusus oleh KDN.

Beliau sehubungan itu meminta Ketua Polis Negara, Pengarah Lojistik PDRM dan Komandan UTK mengenal pasti aset-aset yang diperlukan bagi memastikan pusat latihan berkenaan menjadi sekurang-kurangnya yang terbaik di Asia Tenggara.

“Saya mahu melihat kompleks ini membolehkan UTK mendapat latihan yang lebih baik bagi memastikan PDRM bersedia menghadapi sebarang ancaman keganasan dan jenayah senjata api.

“Ini adalah sesuatu yang amat perlu bagi menentukan masa depan negara dari segi keselamatan.

“Saya selaku Menteri Dalam Negeri juga akan menyokong supaya UTK mendapat penambahan anggota yang mencukupi,” katanya yang menjelaskan unit itu memerlukan sekurang-kurangnya 1,000 anggota berbanding kira-kira 500 orang pada masa ini.

Sementara itu, Hamzah, berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sebanyak 21 projek fizikal baharu bernilai RM558.7 juta telah diluluskan untuk agensi di bawah KDN dengan 10 daripadanya adalah untuk PDRM.

Katanya, baki 11 projek lagi adalah untuk Jabatan Imigresen Malaysia (tiga), Jabatan Penjara Malaysia (4), Maritim Malaysia (satu) dan tiga lagi untuk Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).