SEGAMAT, 11 Jan – Armada BERSATU berpendapat Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor wajar ditangguhkan susulan bencana banjir yang sedang melanda serta peningkatan kes Covid-19 membabitkan varian Omicron.

Ketua Armada BERSATU Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, semua pihak perlu mengambil kira faktor kepentingan rakyat yang mendesak ketika ini.

Beliau berkata, rakyat masih dibelenggu kesusahan dan perlu mengkaji kesan pelaksanaan PRN ketika ini yang akan menghilangkan ‘kepercayaan’ rakyat terhadap pemimpin parti politik.

Tambahnya, setiap pihak yang terlibat perlu bersabar kerana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) juga akan diadakan dalam tempoh tidak sampai setahun sahaja lagi.

“Adalah lebih baik sebagai wakil orang muda, saya merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor kalau boleh tangguh-tangguhkanlah dulu PRN ini. Tak lama pun, PRU paling lambat lagi setahun, buat masa ini bermuafakatlah jaga kepentingan rakyat.

“Kalau tidak orang akan persalahkan parti politik. Dengan varian Omicron semakin naik, jangan pandang remeh walaupun ada dos penggalak.

“Kita tidak mahu rakyat benci ahli politik. Nanti bila PRU-15 peratusan keluar mengundi rendah. Apa guna kita buat pilihan raya kerana nanti back to square one macam sekarang bergaduh lagi,” katanya ketika meninjau kerja-kerja pembersihan di Kampung Spang Loi, hari ini.

Tambah Wan Ahmad Fahysal, pilihan raya yang dilakukan sebenarnya adalah untuk menyelesaikan masalah dan bukan untuk menambah masalah.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perpaduan itu ditanya persediaan mengenai desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memberi laluan kepada PRN yang kononnya akan diadakan dalam masa terdekat.

Khabar mengenai pembubaran DUN dan PRN Johor itu bertambah kuat apabila parti politik termasuk Pakatan Harapan (PH) Johor mengakui ada membincangkan perkara itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kerajaan negeri masih memantau dan melihat keadaan semasa berhubung keperluan untuk mengadakan PRN.