KUALA LUMPUR, 11 Jan – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan menegur mentaliti segelintir ahli politik yang mencerminkan diri mereka ‘hero’ dengan mempolitikkan isu pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpan Pekerja (KWSP) sehingga sengaja menimbulkan kegusaran rakyat.

Wan Saiful berkata mereka wajar duduk semeja berbincang secara rasional dan tidak menjadikan isu ini satu krisis dalam negara.

“Yang menimbulkan isu ini adalah orang politik. Kalau nak jadi hero, jom sama-sama kita tekan kerajaan sama ada kerajaan boleh buat atau tidak.

“Saya tak kata keluar KWSP rosak negara, bukan. Mentaliti segelintir ahli politik ini mahu menyerlahkan diri sebagai ‘aku jadi hero’. Kita nak bawa politik baru, politik yang lebih berdisiplin, dan bertanggungjawab kepada rakyat.

“Kepada orang politik, cuba bincang secara rasional. Kita duduk dalam kerajaan yang sama. Saya tak fahamlah mereka tak ada ‘group WhatsApp’ ke untuk bincang secara tertutup supaya tidak jadi kucar-kacir di luar? Kenapa kita perlu jadikan isu ini satu krisis dalam negara seolah-olah sengaja nak menimbulkan ketidakstabilan,” katanya ketika menjadi panel jemputan dalam program Selamat Pagi Malaysia TV1 bertajuk “KWSP untuk Kesejahteraan Masa Depan” yang disiarkan secara langsung, pada Isnin.

Beliau menyeru kepada ahli-ahli politik agar mengutamakan penyelesaian daripada mencari masalah.

Ini kerana, katanya, rakyat sudah bosan dengan sikap yang ditunjukkan mereka yang sering memanaskan isu KWSP.

“Apa kata daripada cari masalah, kita cari penyelesaian. Bincang secara tertutup. Hanya umum penyelesaian.

“Biar kerajaan tangani dengan rasional. Orang politik bantu kerajaan untuk menolong rakyat, bukan menimbulkan masalah kepada rakyat.

“KWSP menjadi isu politik lebih daripada isu ekonomi sekarang,” katanya.