PUTRAJAYA, 11 Jan – Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Gangguan Seksual seiring agenda kerajaan untuk mempertingkatkan kesejahteraan dan keselamatan dalam menangani ketidaksamaan gender di samping selari dengan kuasa membuat undang-undang seperti yang diperuntukkan di bawah perkara 73 (a) dan 74(1) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, langkah penggubalan itu telah bermula sejak 2019 sekali gus menunjukkan keprihatinan dan keseriusan kerajaan dalam menangani dan menghapuskan diskriminasi berasaskan gender di negara ini.

Katanya, sehubungan itu pihaknya telah membuat segala persiapan rapi dan telah bersedia membentangkan RUU untuk bacaan kali kedua dan sesi perbahasan di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Parlimen bagi Penggal Kelima yang dijangka bersidang mulai 28 Februari hingga 24 Mac ini.

“Segala langkah permulaan penggubalan RUU itu telah direalisasikan dengan pembentangan bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 15 Disember lalu,” katanya ketika berucap di Sesi Penghargaan ahli Pasukan Projek Khas RUU Anti Gangguan Seksual, hari ini.

Katanya, pihak kementerian menubuhkan Pasukan Projek Khas yang terdiri daripada agensi kerajaan seperti Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki kepakaran, pengetahuan dan pengalaman luas.

Beliau turut melahirkan penghargaan atas komitmen dan kerjasama yang telah diberikan oleh semua ahli dalam menangani kelompangan dasar dan sistem perundangan sedia melibatkan kes-kes gangguan seksual.

“Segala pandangan, maklumbalas dan cadangan yang diberikan oleh ahli-ahli semasa proses perbincangan dan libat urus amatlah dihargai. Mereka merupakan penggerak utama dalam proses penggubalan RUU ini,” katanya.

Rina berharap sinergi dan kerjasama yang telah terjalin dapat diteruskan dan diperkukuhkan pada masa depan ke arah mewujudkan suasana yang selamat untuk Keluarga Malaysia.

Tambah beliau, orang ramai juga boleh memberi sebarang cadangan dan pandangan bagi penambahbaikan RUU di portal rasmi kementerian, www.kpwkm.gov.my.

“Ruang untuk penambahbaikan masih ada lagi. Kita juga perlukan maklum balas daripada Keluarga Malaysia. Kami sedia mendengar dan akan meneliti serta mengkaji segala cadangan untuk proses penambahbaikan,” katanya.