KUALA LUMPUR, 11 Jan – Langkah membenarkan lagi pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukan sahaja boleh menambah beban derita masa depan pencarum, malah dilihat masih gagal menyelesaikan masalah kewangan seperti mana pengeluaran sebelum ini.

Ketua Bahagian BERSATU Padang Serai, Khairul Anuar Ramli berkata ini kerana isu itu dipolemikkan segelintir ahli politik yang cuba bermain politik dan mencari publisiti publisiti murahan.

“Kalau hari ini kita menuntut untuk dikeluarkan simpanan itu bila terjadi sesuatu, kita tekan minta dikeluarkan. Maka, hasrat dan matlamat kerajaan itu tidak tercapai.

“Bukan saya nak menyokong KWSP atau nak menafikan hak pencarum. Data yang dikeluarkan lebih 70 peratus pencarum KWSP mempunyai simpanan bawah RM10,000.

“Jika kita keluarkan lagi, apa yang ada lagi baki yang tinggal?” katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, katanya, mereka yang mempolitikkan isu ini cuba mengalihkan pandangan rakyat terhadap kes-kes perbicaraan mahkamah yang mereka hadapi.

Sedangkan, katanya lagi, kerajaan telahpun menyalurkan bantuan segera kepada mereka yang terjejas ditimpa musibah melebihi nilai yang dituntut segelintir politik terbabit.

“Nampak macam cerita lawak. Saya sarankan mereka fokus kepada kes-kes mahkamah mereka, bersihkan nama mereka dan kemudian baru bercakap mengenai soal perjuangan soal rakyat.

“Kita faham kerugian mangsa banjir itu besar. Sepatutnya, mereka memberikan cadangan terbaik bila rakyat ditimpa musibah. Bukan kalut suruh rakyat habiskan duit mereka sendiri.

“Fokus cari sumber apa yang kerajaan patut bantu,” katanya.