KUALA LUMPUR, 11 Jan – Bermula minggu ini, ujian saringan kendiri melibatkan murid sekolah rendah kini boleh dilaksanakan di rumah seterusnya memaklumkan keputusan tersebut kepada pihak sekolah.

Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, perkara itu dipersetujui Kementerian Kesihatan selepas perbincangan mengenainya dibuat bersama Kementerian Pendidikan.

Katanya, kit ujian bagi saringan kendiri tersebut akan disediakan oleh pihak sekolah dan maklumat lanjut berhubung perkara itu akan dijelaskan menerusi kenyataan akhbar dikeluarkan Kementerian Pendidikan nanti.

“Saya ingin tegaskan bahawa adalah amat penting ibu bapa kepada anak-anak terpilih untuk melaksanakan ujian ini di rumah dapat melaksanakannya berdasarkan tatacara yang ditetapkan nanti.

“Ini bagi memastikan sesi persekolahan dapat berlangsung teratur dan selamat. Jika ia tidak dilaksanakan mengikut tatacara ditetapkan, yang akan terkesan bukan sahaja anak-anak tetapi kawan-kawan serta guru-guru di sekolah,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, ibu bapa juga perlu memainkan peranan dalam memastikan ujian saringan tersebut dapat dilaksanakan dengan teratur serta mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Kita ingin memastikan sesi persekolahan dapat terus berlangsung dengan selamat. Saya yakin usaha dan kerjasama ibu bapa dapat memastikan anak-anak hadir ke sekolah dengan teratur dan selamat,” katanya.

Menerusi Strategi Pengujian Covid-19 Kebangsaan Kementerian Kesihatan, antara lain menetapkan seramai 10 peratus murid sekolah rendah dipilih secara rawak bagi menjalani ujian saringan kendiri mingguan secara bergilir di sekolah dan kaedah ini dilaksanakan bermula 1 Disember lalu.