PUTRAJAYA, 13 Jan – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan langkah tahun 2022 dengan menggerakkan kempen Kita Demi Negara selaras aspirasi dan konsep Keluarga Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kempen dengan slogan ‘Negara Kita, Keselamatan Tanggungjawab Bersama’ itu mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk saling bekerjasama dengan KDN dalam menjaga keamanan negara.

Beliau berkata, KDN adalah sebuah kementerian yang diberi tanggungjawab untuk menjaga ketenteraman dan keamanan dalam negara.

“Bagaimanapun, kita tidak ingin masyarakat melihat KDN sebagai kementerian yang berperanan dalam sektor penguatkuasaan semata-mata. Fungsi KDN juga harus dilihat sebagai kementerian yang sentiasa berusaha untuk menyantuni masyarakat.

“Justeru, KDN dan masyarakat harus bersama-sama memikul satu tanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara selari dengan konsep ‘Al-Daruriyat’ iaitu memelihara agama, nyawa, akal, keturunan dan harta benda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KDN dan Amanat Tahun Baharu 2022, hari ini.

Sebagai contoh, katanya, masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) di negara ini boleh diatasi dengan cepat sekiranya majikan dan orang awam saling bekerjasama dan memaklumkan keberadaan warga asing tanpa dokumen itu.

Hamzah berkata, beliau berharap kempen ini dapat disertai semua pihak sebagai rakan strategik kepada kerajaan untuk menyampaikan maklumat dan informasi tepat demi menjamin dan mengekalkan keamanan negara.

“Matlamat kempen ini antara lain meningkatkan kesedaran rakyat terhadap keselamatan negara, membangkitkan semangat patriotisme cintakan tanah air dan membina perpaduan serta keharmonian berbilang bangsa,” katanya.