KUALA LUMPUR, 14 Jan – Presiden BERSATU yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan dakwaan menyatakan beliau tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 dan Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada Mac tahun lalu.

Pegawai Khas Muhyiddin, Mohd Naaim Mahmod berkata, Muhyiddin dan semua delegasi menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 sebelum berangkat ke Arab Saudi dan menerima suntikan kedua vaksin sekembali ke tanah air manakala vaksin Meningococcal Meningitis tidak diwajibkan.

“Dakwaan Ustaz Abu Syafiq, Muhyiddin dan delegasi tidak mendapat suntikan vaksin COVID-19 atau Meningococcal Meningitis ketika mengerjakan ibadah umrah pada bulan Mac tahun lalu tidak benar.

“Pada masa itu, kerajaan Malaysia dan Arab Saudi tidak mengenakan syarat lengkap suntikan vaksin atau vaksin lain untuk pengembara yang ingin melakukan perjalanan ke Arab Saudi,” katanya dalam kenyataan di Facebook Muhyiddin, hari ini.

Dakwaan terhadap Muhyiddin dan delegasi itu dibangkitkan seorang individu dikenali sebagai ‘ustazabusyafiq’ dalam media sosial yang tampil membuat pengakuan menjelaskan dirinya adalah individu membawa jemaah tidak divaksin ke Tanah Suci dan mengaku dirinya tidak divaksin.

Individu terbabit menamakan Muhyiddin dan delegasinya ke Arab Saudi serta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man antara yang tidak divaksin COVID-19 dan Meningococcal Meningitis ketika menunaikan umrah.

Susulan penafian Muhyiddin ini, individu terbabit menerusi laman sosialnya mendakwa, beliau mendedahkan bekas Perdana Menteri itu tidak mendapat suntikan Meningociccal Meningitis, bukan vaksin COVID-19.

Menjelas lanjut, Mohd Naaim menjelaskan lawatan kerja rasmi Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan ke Arab Saudi diadakan atas undangan kerajaan Arab Saudi dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Ini termasuk melakukan ujian PCR sebelum, semasa dan selepas lawatan. Hasil ujian PCR mendapati semua delegasi negatif COVID-19.

“Pergerakan delegasi di Arab Saudi juga dikawal ketat pihak berkuasa negara itu dalam suatu gelembung perjalanan (travel bubble) ditetapkan,” katanya.