KUALA LUMPUR, 15 Jan – Sebanyak 530 murid daripada keluarga kurang berkemampuan menerima bantuan menjelang pembukaan semula sesi persekolahan tahun 2022.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, pemberian kelengkapan persekolahan itu adalah bagi menyantuni anak-anak daripada golongan yang kurang berkemampuan atau B40.

“Kita memberi kelengkapan awal persekolahan untuk murid-murid meneruskan pembelajaran sekolah. Hari ini, seramai 530 murid sekolah menerima bantuan beg sekolah, botol air, bekas makanan, buku dan peralatan menulis sumbangan Yayaysan Prihatin Nasional.

“Ini adalah salah satu inisiatif saya sebagai Ahli Parlimen Titiwangsa untuk membantu keluarga-keluarga kurang berkemampuan membuat persiapan bagi anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi,” jelasnya dalam sidang akhbar di Masjid Al-Akram,dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai bantuan-bantuan yang diberikan, Rina berkata, kerajaan secara konsisten telah membantu mangsa-mangsa banjir dan mengagihkan bantuan secepat mungkin untuk meringankan beban mangsa.

“Di Parlimen Titiwangsa ini sahaja, sebanyak 224 rumah terjejas. Bayangkan apabila rumah dilanda banjir luar jangka, harta benda semua rosak malah pakaian, peralatan dan buku-buku sekolah turut hancur dan dihanyutkan air. Dalam masa yang sama, anak-anak kita pula perlu meneruskan sesi persekolahan.

“Kita bersyukur kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) amat prihatin atas nasib mangsa-mangsa banjir. Kerajaan telah memperuntukkan lebih RM1.4 bilion melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas.

“Ini termasuk bantuan tunai, pembiayaan dengan kadar 0 peratus dan baucar membaiki kenderaan yang rosak bagi membantu rakyat terkesan 12 membina semula kehidupan dengan segera, demi kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.