Penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963 telah memastikan rakyat negara ini untuk terus bersatu walaupun semasa waktu susah. Etnik, agama, fahaman politik dan taraf hidup setiap individu diketepikan supaya kita dapat mencapai kemajuan sebagai rakyat Malaysia.

Walaupun negara kita mempunyai beberapa isu dalaman yang belum diselesaikan, saya percaya bahawa ruang untuk memperbaiki isu-isu negara sentiasa ada. Dengan mengikuti tren terkini dan tuntutan semasa, akan wujud impak terhadap pembangunan negara. Oleh sebab itu, mereka yang berkuasa perlu memastikan pendidikan yang berkualiti dan sama rata dapat diberikan kepada generasi masa kini dan yang akan datang.

Kumpulan etnik terbesar di negara kita ini ialah Bumiputera, iaitu 68.6% daripada jumlah penduduk. Sekitar 60% daripada 100% penduduk Bumiputera masih berada dalam kemiskinan. Sebahagian besar daripada mereka berasal dari Sabah dan Sarawak, negeri yang makmur namun masih diketepikan dari sudut pembangunan.

Walau begitu, kita harus mengiktiraf usaha yang sedang dilakukan oleh kerajaan iaitu meningkatkan dana untuk membina infrastruktur di Sabah dan Sarawak di bawah inisiatif Bajet 2022.

Dalam soal pendidikan juga, negara kita sedang berusaha untuk meningkatkan tahap penerimaan golongan Bumiputera. Masalahnya di sini ialah, gologan yang berada dalam kemiskinan tidak mendapat banyak bantuan berbanding mereka yang sudah mempunyai keistimewaan dari segi kestabilan kewangan. Oleh itu, kebanyakan pelajar yang mendapat geran Bumiputera, peluang untuk masuk ke UITM dan program matrikulasi dan bantuan lain adalah daripada keluarga yang bukan sebahagian daripada 60% yang masih berada dalam kemiskinan.

Perkara ini harus dilihat dengan serius kerana jika berterusan, yang miskin akan menjadi lebih miskin dan yang kaya akan menjadi lebih kaya. Kerajaan harus melakukan carian menyeluruh dan mengumpul lebih banyak data untuk menganalisis ketidaksamaan yang jelas memusnahkan generasi masa depan negara kita.

Meninggalkan mereka yang memerlukan akan membantutkan pembangunan negara kita. Kemerosotan dalam kestabilan ekonomi, pengurangan inovasi dalam teknologi dan kehilangan bakat-bakat yang tidak dibina disebabkan ketidakadilan ini. Apa gunanya membangunkan 50% daripada penduduk negara kita sedangkan 50% yang lain masih berada dalam kelaparan? Jawapannya mudah, tidak ada gunanya kerana negara kita telah gagal melindungi mereka yang betul-betul memerlukan pertolongan.

Di samping itu, saya percaya bahawa kerajaan harus memberi kesedaran kepada Bumiputera yang mempunyai keistimewaan untuk bertimbang rasa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ia dipanggil ekuiti, di mana kita belajar bagaimana untuk bersikap adil dan saksama untuk mengekal keadilan dalam jangka masa panjang.

Sekiranya agenda ini dapat disampaikan kepada rakyat dengan jelas, perubahan mampu berlaku. Walaupun jumlah yang berubah adalah kecil, saya boleh memberi jaminan bahawa perkara ini boleh akan peluang kepada warga bumiputera yang lain untuk menaiktarafkan keadaan hidup mereka.

Berdasarkan pandangan yang lebih realistik, kemiskinan dan terpinggir dalam pendidikan bukan sahaja memberi kesan kepada gologan bumiputera tetapi juga kepada warga bukan bumiputera. Isu ini sangat sensitif untuk dibincangkan kerana kita mempunyai dua pandangan yang sangat berbeza.

Yang pertama ialah memelihara status quo, iaitu memastikan hak Bumiputera dilindungi ke tahap maksimum. Yang kedua ialah tentang mengubah ideologi dan status quo dengan memasukkan warga bukan Bumiputera, yang kemudiannya akan membawa kepada kesaksamaan dalam penerimaan geran pendidikan dan kemasukan ke universiti awam yang lebih mudah.

Realitinya ialah, ia amat sukar untuk memuaskan hati semua bukan bumi dalam isu ini. Ini kerana, penduduk majoriti di negara kita masih ketinggalan berbanding dengan penduduk minoriti. Oleh itu, agak mudah untuk kita fahami mengapa undang-undang dan keistimewaan sedemikian wujud.

Walau bagaimanapun, perlu ditekankan bahawa kita tidak boleh terus mengabaikan warga bukan Bumiputera kerana Malaysia adalah negara mereka juga. Mereka adalah rakyat negara ini dan mereka membayar cukai, sama seperti warga-warga lain. Bagi memastikan golongan bukan Bumiputera yang kurang berkemampuan mendapat bantuan yang sama seperti yang lain, kita harus meningkatkan kuota geran dan kapasiti untuk masuk ke universiti awam.

Anggaran yang perlu dipertimbangkan untuk meningkatkan kuota geran dan kemasukan pelajar ialah 10% untuk warga bukan Bumiputera. Universiti Teknologi Mara (UITM) merupakan universiti yang sentiasa berjaya dalam memastikan pelajarnya mempunyai masa depan yang cerah. Oleh itu, mereka harus memulakan inisiatif ini. Ini akan menyebabkan kesan domino kepada institusi awam lain untuk melakukan perkara yang sama terutamanya program matrikulasi.

Perubahan ini boleh memastikan bahawa perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik tidak akan menjadi penghalang dalam membangunkan Malaysia pada masa hadapan. Sepertimana yang telah dilakukan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan, di mana mereka bekerjasama untuk mencapai kemerdekaan kita, generasi muda juga mesti bekerjasama untuk membina kemajuan teknologi dari segi sains angkasa lepas, sains biologi dan kimia.

Ini akan menjadi langkah pertama bagi rakyat negara kita dalam memastikan kesaksamaan dan kesamarataan dapat dicapai oleh semua. Destinasi untuk mencapai perubahan yang meliputi kesuluruhan rakyat adalah amat jauh. Naum, langkah ini ada penting untuk kita bersiap sedia dengan masa hadapan yang akan dipenuhi dengan cabaran. Jika kita tidak cuba menyelamatkan rakyat kita hari ini, maka tidak ada hari esok untuk dinanti-nantikan.

Dari perspektif antarabangsa, perkara sebegini memberi peluang untuk kita maju bersama-sama dengan semua negara yang sedang membangun dan juga negara yang sudah pun maju. Perubahan seperti ini tidak dapat dielakkan jadi lebih baik kita melakukan sesuatu hari ini dan bukannya menyesal di kemudian hari.

Mahathir Mohd Rais adalah Ketua Bahagian BERSATU Segambut