ALOR GAJAH, 16 Jan – Melaka akan menjadi negeri pertama bagi pelaksanaan program jelajah aspek perundangan negara melibatkan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) termasuk Jabatan Bantuan Guaman, Jabatan Insolvensi dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Naib Ketua Srikandi BERSATU yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata pelancaran siri jelajah itu dijangka akan dirasmikan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada hujung bulan ini sebelum diperluaskan ke negeri lain.

“Siri jelajah ini akan melibatkan antaranya sesi ‘town hall’, dialog, khidmat bantuan guaman, pameran dan lawatan mengikut keperluan dan permintaan agensi di bawah jabatan itu di setiap negeri terlibat.

“Objektif pelaksanaan program ini ialah memberi pendedahan dan pemahaman kepada rakyat setempat berkaitan aspek perundangan negara secara lebih luas selain fungsi dan peranan agensi terlibat serta perkhidmatan yang ditawarkan untuk rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) (UPKK) 2021 di sini pada Ahad.

Pada majlis itu sebanyak 724 murid cemerlang UPKK 2020 dan 2021 diberi sijil penghargaan dan wang tunai melibatkan peruntukan hampir RM100,000.

Sementara itu, beliau berkata, program tuisyen untuk pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 pada Mac depan bagi Parlimen Masjid Tanah akan dimulakan dalam masa terdekat bagi mempersiapkan pelajar menghadapi peperiksaan itu.

“Program tuisyen berkenaan telah dihentikan hampir dua tahun ekoran penularan Covid-19 dan ia akan dimulakan segera. Saya telah berbincang dengan pejabat pendidikan daerah serta pihak sekolah untuk memulakan program ini dan kosnya akan kita biayai,” katanya.