KUALA LUMPUR, 16 Jan – Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya bahawa Malaysia berada di kedudukan terbaik untuk kembali menjadi kuasa ekonomi yang lebih kuat berbanding ketika sebelum pandemik Covid-19.

Menerusi temu bual bersama media berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), The National, bekas Perdana Menteri itu berkata, di sebalik impak buruk penularan Covid-19 terhadap negara, Malaysia dilihat mempunyai keupayaan untuk kembali memulihkan kedudukan ekonominya dalam kalangan negara Asia sedang membangun.

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, kerjasama dijalinkan bersama negara serantau melalui ASEAN semasa wabak merupakan kekuatan yang dimiliki oleh Malaysia untuk mencapai sasaran tersebut.

“Kami masih bertanya berteka-teki mengenai keupayaan sistem penjagaan kesihatan kami untuk menghadapi penularan terbaharu varian Omicron. Namun pemulihan daripada pandemik ini sangat penting, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh rantau (ASEAN).

“Persoalannya sekarang adakah kita akan kembali kepada keadaan pada 2019 atau menggunakan ini sebagai platform untuk melonjakkan Asia lebih tinggi dalam ranking negara maju?

“Bolehkah kita menggunakan ini bukan sahaja untuk pulih, tetapi untuk benar-benar memulakan negara kita di Asia dan meningkatkan status dan melihat ekonomi digital baharu serta cara bank kita berfungsi. Kedengarannya bercita-cita tinggi, tetapi ini boleh menjadi satu rahmat,” katanya menerusi temu bual yang disiarkan pada Sabtu.

ASEAN merupakan pertubuhan kerjasama negara rantau Asia Tenggara yang terdiri daripada Brunei, Cambodia, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, the Philippines, Singapore, Thailand, and Vietnam.

Pertemuan khas dalam kalangan negara ASEAN ketika ini telah membolehkan perkongsian maklumat, kerjasama dan kejayaan dalam menangani Covid-19.