PARIT RAJA, 19 Jan – Semua kepimpinan BERSATU harus bersatu dan mengenepikan persengketaan untuk memperkukuhkan parti dalam berdepan sebarang kemungkinan di masa akan datang.

Naib Presiden BERSATU Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata jentera parti harus diperkemaskan dengan penuh semangat bagi memperbaiki parti dan meneruskan perjuangan demi agama, bangsa dan negara.

“Ia bukan satu perkara yang perlu dibanggakan sebaliknya satu komiten yang perlu dijalankan.

“Paling penting, mempersiapkan parti bagi menghadapi apa juga kemungkinan sama ada pilihanraya dan sebagainya,” katanya ketika berucap dalam pertemuan tertutup bersama pimpinan BERSATU Johor di majlis makan tengahari pada Selasa.

Majlis dianjurkan oleh Mohd Rafiq itu turut dihadiri Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan; Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Negeri Johor Senator Ir. Md Nasir Hashim; dan Setiausaha BERSATU Johor Datuk Dr. Sahruddin Jamal.