KUALA LUMPUR, 20 Jan – Semua pihak diminta berhenti daripada terus menggembar-gemburkan isu melibatkan penjawat awam demi agenda tersembunyi meskipun pihak yang berkuasa sudah menjalankan siasatan sepenuhnya dan membuat keputusan muktamad.

Gesaan itu dibuat Timbalan Presiden BERSATU Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu susulan keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkait siasatan terhadap Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

“Maka dengan itu, saya berharap suara-suara yang berkeras untuk terus memainkan kes ini akur dengan keputusan SC dan menghormati autoriti SC yang telah menjalankan tugasnya tanpa sebarang campur tangan menurut undang-undang.

“Ini adalah kerana Pakatan Harapan sendiri yang menyarankan dari awal lagi supaya SC menyiasat Tan Sri Azam Baki. Namun, apabila SC membuat keputusan, maka SC dipersoal.

“Nampaknya Pakatan Harapan sedang memerangi penjawat awam yang berdedikasi dan komited menjalankan amanah mereka demi agenda politik yang sempit dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi kerajaan seperti SPRM dan SC,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu lagi, tindakan itu bukan sahaja tidak tulus, malah bersifat tidak patriotik dan meruntuhkan semangat utuh perkhidmatan awam, sekali gus mengkompromi masa depan negara demi agenda politik semata-mata.

Beliau berpandangan, penjawat awam adalah tiang kerajaan dan adalah menjadi tanggungjawab semua pihak memastikan semua agensi kerajaan yang gigih menjalankan amanat dan tanggungjawab mereka dilindungi daripada pihak-pihak yang mempunyai agenda kepentingan diri sendiri.

SC dalam kenyataan semalam memaklumkan, pihaknya tidak dapat menentukan secara muktamad sama ada berlaku pelanggaran undang-undang bawah Seksyen 25(4) SICDA berhubung isu pemilikan saham Azam sekali gus menamatkan inkuiri.

Azam dalam reaksi beliau menzahirkan rasa syukur dan memberi komitmen untuk terus bertugas sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.