KUALA LUMPUR, 21 Jan – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan yakin enam anggota Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dapat menjalankan siasatan dengan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

Katanya, siasatan yang adil adalah penting bagi mengenal pasti tuduhan yang dilemparkan terhadap Tabung Haji sebelum ini.

Ini setelah penubuhan RCI bagi menyiasat isu pengurusan serta operasi Tabung Haji mulai tahun 2014 hingga 2020 telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Tabung Haji adalah satu agensi penting yang amat dekat dengan hati rakyat yang beragama Islam. Keutuhan dan keyakinan rakyat terhadap Tabung Haji mesti dikekalkan. Maka penubuhan RCI ini adalah satu langkah yang dinanti-nanti.

“Saya mempunyai keyakinan bahawa anggota-anggota RCI ini akan melaksanakan siasatan sepenuhnya without fear or favour berkenaan semua isu berkaitan.

“Jangan biarkan apa-apa aspek sekalipun tertinggal. Saya mengenali secara peribadi beberapa orang ahli yang telah dilantik dan saya yakin mereka mempunyai ketokohan dan kredibiliti untuk melaksanakan amanah berat yang dipikul,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Katanya, RCI ini juga akan merungkai hal-hal berkaitan integriti dan tadbir urus agensi tersebut semasa Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri serta tuduhan campur tangan Kementerian Kewangan ketika zaman pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).