JELI, 22 Jan – Pembukaan semula platform Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat serta udara antara Malaysia dan Singapura pada Jumaat dijangka akan merancakkan lagi pemulihan ekonomi negara ini terutama bagi penduduk Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, keputusan pembukaan semula sempadan antarabangsa itu dialu-alukan selepas VTL dihentikan sementara selama sebulan sebelum ini akibat ancaman varian Omicron Covid-19.

Katanya, pembukaan semula VTL juga penting kepada hubungan kekeluargaan membabitkan masyarakat yang tinggal di kedua-dua negara terutama menjelang perayaan Tahun Baharu Cina pada 1 Februari ini.

“Pembukaan VTL menjelang Tahun Baharu Cina membolehkan pergerakan mereka yang ada ahli keluarga di Malaysia atau Singapura dengan berlandaskan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diumumkan.

“Kita harap dengan pembukaan sempadan antarabangsa secara beransur-ansur ini akan meningkatkan lagi kegiatan ekonomi di Malaysia dan turut memulihkan ekonomi masyarakat di Johor,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Jeli di sini pada Sabtu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jeli sebelum itu merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Koporat (CSR) Pendidikan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) peringkat Jeli membabitkan 170 penerima bantuan persekolahan terdiri daripada murid tiga sekolah rendah di sekitar daerah itu.

Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah YPM, Datuk Mohd Faizal Daud merangkap Presiden Himpunan Siswazah Kebangsaan (HIMSAK).

Mustapa berkata, keadaan ekonomi negara ketika ini semakin pulih ditambah dengan keadaan cuaca dan pemulihan akibat banjir yang semakin baik selain keadaan varian Omicron yang terkawal.

“Setakat ini, pengawalan virus Omicron dilakukan dengan baik dan tidak memberi kesan kepada ekonomi kerana sektor ini tidak ditutup berbanding Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sebelum ini.

“Dulu sempadan tidak dibuka berbeza sekarang dibenarkan untuk perjalanan industri dan ekonomi, maka rakyat boleh bekerja,” katanya.

Akhbar pada Jumaat melaporkan, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua inisiatif VTL darat serta udara antara Malaysia dan Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta-merta.

Kuota tiket yang dijual bagaimanapun akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

Pada 23 Disember tahun lalu, VTL Malaysia-Singapura ditutup susulan penularan varian Omicron Covid-19.

Dalam perkembangan lain, katanya, seramai 6,221 pelajar dan murid di Parlimen Jeli yang terdiri daripada kalangan keluarga B40, asnaf dan yatim menerima Bantuan Awal Persekolahan (BAP) berjumlah RM150 setiap seorang.

“Jumlah itu sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan jumlah 8,004 pelajar dan murid di parlimen ini yang ibu bapa mereka kebanyakannya adalah penoreh getah serta petani.

“Bantuan BAP tersebut dinaikkan kepada RM150 berbanding RM100 sebelum ini bertujuan meringankan beban ibu bapa dalam persekolahan anak-anak mereka, misalnya tiga anak akan dapat RM450,” katanya.