KUALA LUMPUR, 22 Jan – BERSATU akan mengadakan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi pada minggu ini untuk memuktamadkan strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan pada Sabtu.

Beliau pada masa sama turut menyatakan bahawa sekarang bukan waktu terbaik untuk mengadakan pilihan raya.

“Tetapi UMNO Johor kelihatan rakus bermain politik demi kuasa, walaupun rakyat masih bergelumang dengan pandemik Covid-19 dan kesan bencana banjir.

“Politik Johor sedang stabil dan tidak bergolak.

Tidak ada langsung sebab untuk diadakan pilihan raya, melainkan nafsu beberapa orang dalam UMNO, ” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu telah berkenan menandatangani watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Keputusan baginda Sultan itu dimeterai selepas berkenan menerima mengadap Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad pada jam 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Dalam pada itu, Wan Saiful mendakwa bahawa pelaksanaan PRN kali ini adalah usaha ‘kluster mahkamah’ dan pendokongnya untuk mengalih perhatian daripada perbicaraan yang sedang mereka hadapi dan pada masa yang sama turut memperkukuh kedudukan mereka.

“Mungkin kluster mahkamah semakin terdesak dan merasakan bahawa satu-satunya cara untuk lari dari penjara ialah dengan merobek pemisahan kuasa.

“Untuk merobek pemisahan kuasa yang dibina semula bersungguh-sungguh oleh Tan Sri Muhyiddin, mereka mesti membolot kuasa dahulu,” ujarnya.

Katanya, adalah tidak pelik jika politik yang berlaku di Johor itu akan turut diikuti oleh negeri lain.