JERTIH, 24 Jan – Kerajaan sudah memberi kelulusan untuk mengimport ayam bulat sejuk beku ke Malaysia kepada 32 syarikat dari tiga negara, setakat ini bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan dan kenaikan harga ayam mentah yang dihadapi rakyat.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pengimportan dari negara berkenaan iaitu Thailand, China dan Brazil itu bagaimanapun akan dihentikan sebaik sahaja bekalan ayam di negara ini stabil semula.

“Jadi, ini langkah sementara yang dibuat MAFI (Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) untuk memastikan bekalan ayam mencukupi bagi negara,” katanya selepas menghadiri majlis pecah tanah Projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) di Benting Lintang di sini, hari ini yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ronald berkata, pengimport dari negara berkenaan perlu mematuhi segala syarat ditetapkan termasuk dipastikan status halal.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Disember tahun lalu berkata, kerajaan akan mengimport ayam sejuk beku bagi menampung permintaan dan membolehkan rakyat mendapat bekalan pada harga lebih rendah berbanding ayam segar tempatan.

Susulan itu, MAFI dalam kenyataan memaklumkan kebenaran pengimportan ayam sejuk beku adalah untuk tempoh tiga bulan bermula Disember tahun lalu hingga Februari ini.

Terdahulu, majlis pecah tanah berkenaan menyaksikan sebanyak 50 unit perumahan nelayan berkeluasan 800 kaki persegi merangkumi tiga bilik tidur dan dua bilik air, bakal dibina.

Projek yang merupakan usaha sama kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) itu menelan kos sebanyak RM7.6 juta dan akan mula dilaksanakan bulan ini serta dijangka siap menjelang Julai tahun hadapan.