AYER HITAM, 24 Jan – Seramai enam ADUN, 19 Ketua Bahagian Dan 18 Ketua Penerangan Bahagian BERSATU Johor hadir bagi memberikan pandangan berkaitan isu-isu semasa berhubung persediaan BERSATU menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Pandangan isu-isu semasa itu, berserta cadangan-cadangan pendirian yang wajar diambil oleh parti, disampaikan kepada Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan dalam tiga sesi pertemuan khas di ibu pejabat BERSATU Ayer Hitam, hari ini.

Datuk Wan Saiful berkata, “Tiga sesi khas ini diatur untuk membolehkan kita berbincang dan menyusun pergerakan awal jentera penerangan dalam menghadapi pilihanraya negeri. Saya gembira dengan semangat yang ditunjukkan oleh pemimpin akar umbi negeri Johor.”

Turut hadir, Ketua Penerangan BERSATU Johor Mohd Solihan Badri.

Terdahulu, Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata Perikatan Nasional (PN) bersedia menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada bila-bila masa susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.

Katanya, meskipun PN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Johor sebelum ini, namun keputusan pembubaran DUN dibuat tanpa perundingan dengan PN Johor.

Beliau berkata, sebagai persediaan menghadapi pilihan raya PN akan mengadakan rundingan dengan parti anggotanya bagi memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi selain memberi tumpuan kepada persiapan jentera parti.

Semalam, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor selepas menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.

Hasni dalam sidang akhbarnya memberitahu permohonan tersebut dibuat oleh beliau setelah mendapat persetujuan daripada UMNO Johor dan juga pusat.