KUALA LUMPUR, 24 Jan – Kemuafakatan dalam parti dan rakan seperjuangan adalah kunci kejayaan untuk menang dalam Pilihan Raya Negeri Johor (PRN).

Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli berkata, mana-mana parti yang menentang UMNO mesti berada di bawah satu panji.

“Jika tidak, sia-sia sahaja kerana kemenangan akan berpihak kepada UMNO,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Razrul lagi, formula pilihan raya PH sebelum ini terbukti berkesan dengan kejayaan dalam PRU 14.

“Formula sama turut digunakan dalam PRN Sabah dengan Gabungan Rakyat Sabah yang turut mencatat kejayaan,” katanya.

Menurut Razrul, tidak mustahil jika kesepakatan gabungan baharu mampu menumpaskan UMNO sekali lagi.

“Kesepakatan gabungan amat penting untuk mencapai apa-apa keputusan dan fokus utama kita adalah menjadi suara untuk rakyat.

“Apa yang kita boleh belajar daripada bencana banjir tempoh hari adalah rakyat memberi signal mereka mampu survive tanpa pemimpin, bagaimanapun pemimpin tetap penting untuk membawa agenda mereka ke hadapan,” katanya.